Sarawak Berpotensi Tingkat Pengeluaran Beras Tempatan

Disiarkan pada 29 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Sarawak berpotensi untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan dan mengurangkan risiko kekurangan beras pada masa hadapan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Ijang berkata, keyakinan itu hasil kejayaan projek rintis penanaman padi hibrid di kawasan Sungai Padi, di sini.

Menurut beliau, projek meliputi keluasan 25 hektar tersebut diusahakan oleh Onemas Agriculture Sdn Bhd menggunakan baka padi bermutu tinggi yang membolehkan tanaman berkenaan dituai tiga kali setahun.

"Projek perintis pertama di daerah Meradong yang masih pada peringkat percubaan ini boleh dikatakan berjaya,"katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram itu berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Kilang Pemprosesan Penanaman Padi Hibrid, di sini baru-baru ini.-Edisi UKAS