Pembinaan Gelanggang Padang Futsal Kampung Tebaang Siap Sepenuhnya

Disiarkan pada 29 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



DARO: Sebuah projek bina gelanggang padang futsal di Kampung Tebaang di bawah dana peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad telah siap sepenuhnya sebelum sambutan Aidilfitri.

Menurut Safiee, projek sebanyak RM380,000 ini memberi manfaat kepada belia kerana ini merupakan salah satu fasiliti yang mereka inginkan.

“Gelanggang futsal Kampung Tebaang ini adalah sebuah gelanggang tercantik setakat ini.

“Belia kita di sini jagalah dengan baik dan manfaatkan fasiliti ini sepenuhnya,” ujarnya ketika berucap di Majlis Berlanggar Raya Kampung Tebaang Tahun 2024 di Dewan Serbaguna Kampung Tebaang, Daro pada pagi Ahad.

Selain itu katanya, projek bina baru Masjid Kampung Tebaang yang telah ditambah peruntukannya oleh Premier Sarawak juga akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Ini menjadikan jumlah peruntukannya adalah sebanyak RM5 juta. Tapak juga telah dikenalpasti yang mana telah diwakafkan oleh seorang hamba Allah,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu katanya, projek naik taraf SK Tebaang yang bernilai RM14 juta juga kini sedang giat dilaksanakan bagi memberi keselesaan anak-anak di sini belajar.

Terdahulu pada malam Sabtu, beliau turut menghadiri Majlis Berambeh Raya Aidilfitri 1445H/2024M Peringkat Kampung Panchor Daro anjuran JKKK Kampung Panchor Daro.

Hadir sama Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Penghulu Bahiri Selakong, Penghulu Abu Bakar Salleh, Penghulu Jebli Ngok, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum serta wakil-wakil NGO yang lain.-EDISI UKAS