Masyarakat Sungai Sian Bintangor Menjadi Contoh Perpaduan Kaum

Disiarkan pada 29 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Masyarakat Sungai Sian Bintangor merupakan antara contoh penempatan penduduk berbilang kaum yang dapat hidup bersama dengan mesra dan bekerjasama.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, melalui berbagai perayaan budaya yang diraikan bersama di Sarawak perpaduan kaum dapat diperkukuhkan.

“Jangan suka membuat hantaran jelik atau berbaur perkauman di media sosial kerana jika laporan polis dibuat, siasatan dan tindakan akan menyusul.

“Platform media sosial sering disalahguna dengan posting yang tidak bertanggungjawab dengan menerbitkan buruk sangka dan kebencian.

“Undang-undang yang dikuatkuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bukan untuk menyekat kebebasan bersuara tapi setiap luahan rasa mesti berhemah dan berasas,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 di Dewan Tanjung Bundong Bintangor pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, kebanyakan projek-projek rakyat yang dilaksanakan dalam kawasan ini berskala kecil-sederhana seperti jalan dan jambatan dalam kampung, jeti serta menaik taraf kemudahan awam seperti dewan masyarakat dan rumah ibadah.

Katanya lagi, projek besar yang amat ditunggu mereka ialah jalan perhubungan sepanjang empat kilometer yang menghubung kawasan mereka ke jalan besar antara Sibu ke Tanjung Manis dengan anggaran kos berjumlah RM40 juta dengan kelulusan peruntukan dari Kerajaan Sarawak.

“Agensi berkaitan masih di peringkat persediaan teknikal.

“Jalan ini penting mempercepatkan perjalanan kerana kawasan ini berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat pengeluaran pelbagai tanaman buah-buahan atau sawah padi,” ujarnya.

Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir. Yusuf Abdul Wahab, Pemangku Pegawai Daerah Meradong Thomas Geoffrry Kendawang serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS