Terminal Bas Miri Sentral Dibuka Rasmi 18 Januari 2025

Posted on 24 Dec 2024
Source of News: Ukas


MIRI: Terminal Bas Miri Sentral, yang terletak di Miri Bypass akan mula beroperasi secara rasmi pada 18 Januari 2025, menggantikan Terminal Bas Pujut yang dijadualkan menamatkan operasinya pada 17 Januari 2025.

Projek ini merupakan hasil kerjasama antara Kerajaan Sarawak, Kementerian Pengangkutan Sarawak, dan Majlis Bandaraya Miri.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, menyatakan bahawa pembukaan terminal baharu ini adalah satu langkah signifikan dalam meningkatkan infrastruktur pengangkutan awam di Miri.

“Terminal ini akan beroperasi setiap hari dari jam 5.00 pagi hingga 11.00 malam dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden bagi memenuhi keperluan pengguna,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk 12 kaunter tiket, 12 kedai runcit, 14 platform bas, dua kafe, ruang menunggu yang luas dan selesa, serta tandas awam yang mesra pengguna golongan kelainan upaya.

Adam Yii turut menambah bahawa Terminal Bas Miri Sentral akan menjadi hab utama bagi bas jarak jauh, bas tempatan, teksi, dan perkhidmatan e-hailing, sekali gus menyediakan pengalaman pengangkutan yang lebih baik untuk penduduk tempatan dan pelancong.

“Terminal ini dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan pengangkutan, menyokong pembangunan ekonomi dan meningkatkan mobiliti masyarakat,” tambahnya.-EDISI UKAS