Pesta Rakyat UiTM Mukah Platform Pelajar Ceburi Bidang Perniagaan

Disiarkan pada 29 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Pesta Rakyat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mukah, Night Bazaar, Siri 1/2024 memberi peluang untuk perkongsian dan pemindahan ilmu daripada pihak industri luar serta tenaga akademik (pensyarah) dalam pelbagai bidang keusahawanan seperti makanan, pakaian, kecantikan, kafe, gig ekonomi dan banyak lagi.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata pesta tersebut memberi pengalaman kepada pelajar yang terbabit untuk meningkatkan pengetahuan praktikal dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan keyakinan diri untuk membuka perniagaan sendiri semasa atau selepas pengajian.
 
"Pendedahan awal di peringkat IPT seumpama ini sudah pasti akan menghasilkan graduan yang lebih ‘versatile’ dalam menghadapi dunia selepas alam pengajian.
 
“Selain dari bekerja dengan mana-mana majikan, kita yakin mereka pun mampu mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain sebagai majikan,” katanya ketika ditemui semasa meninjau itu yang diadakan di Tempat Letak Kereta, Takan Berambeh, UiTM Kampus Mukah pada Sabtu.
 
Program julung kali anjuran UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah telah diadakan pada 26-27 April 2024 bertempat di Takan Berambeh, UiTM Kampus Mukah dan turut disertai staf akademik dan bukan akademik serta peniaga daripada luar, termasuk usahawan Bundle.
 
Ia merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh Unit MASMED UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah untuk menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pelajar di samping membuka peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk-produk mereka.
 
Inisiatif ini juga bertujuan mempromosikan UiTM kepada komuniti setempat di samping merapatkan hubungan dan kerjasama di antara universiti dan komuniti.  
 
Terdapat lebih 30 penyertaan daripada peniaga dalam dan luar kampus UiTM yang menyediakan pelbagai hidangan dan perkhidmatan mereka semasa program tersebut.
 
Ia menyaksikan lebih 20 penyertaan melibatkan pelajar serta usahawan setempat telah menyertai aktiviti jualan yang berlangsung selama dua hari ini.
 
Antara produk usahawan yang telah diketengahkan seperti makanan, pakaian, aksesori dan lain-lain.
 
Selain itu, Pesta Rakyat UiTM (Night Bazaar) kali ini telah menyajikan pengunjungnya dengan aktivti-aktiviti seperti permainan sukan rakyat, persembahan nyanyian, dan banyak lagi.
 
Turut hadir Wakil Pegawai Pendidikan Daerah Mukah Dr. Mohamed Khirul Nizzuan Hamzah, Penolong Rektor UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah Prof. Madya Dr. Abdul Razak Abdul Kadir, Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan Mukah Encik Mohd Shazwan Seun, Ketua Pusat Pengajian Sains, Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah Muhammad Syukrie Abu Talip. - EDISI UKAS