Sambutan Hari Raya Serlah Perpaduan Masyarakat Majmuk Di Sarawak

Disiarkan pada 29 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Kemeriahan sambutan Hari Raya masih lagi dirasai oleh semua lapisan masyarakat di Kampung-kampung Melayu Bintangor.
 
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 tersebut anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatua (PBB) Sarawak Cawangan Meradong dengan kerjasama Ketua Kaum Dan Ketua Masyarakat Meradong.
 
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak ( Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undnagan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol, masyarakat di Bintangor adalah contoh penempatan penduduk berbilang kaum yang dapat hidup bersama dengan mesra dan bekerjasama.
 
Katanya, sambutan hari raya tahun ini adalah amat berbeza berbanding tahun sebelum ini dengan kehadiran pelbagai bangsa dari penduduk setempat seperti rumah panjang dan kaum cina.
 
“Setiap tahun kampung-kampung Melayu Bintangor akan mengadakan pertandingan kecantikan pameran masakan mengikut zon kampung dan ia mendapat tarikan orang ramai untuk melihat dan merasai keenakan masakan mereka.”
 
Beliau berucap demikian semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 di Dewan SK Abang Amin Bintangor pada Ahad yang turut dihadiri Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir. Yusuf Abd Wahab.
 
Sementara itu, Ir Yusuf yang juga Pengerusi CIDB Malaysia berkata perpaduan pelbagai kaum dan bangsa di Sarawak adalah amat penting kerana masyarakat di sini saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama.  
 
“Inilah keunikan di Sarawak dan ia juga adalah contoh terbaik kerana Sarawak merupakan sebuah negeri yang sentiasa berteraskan slogan Maju Makmur,” katanya.
 
Pelbagai aktiviti memeriahkan sambutan kali ini seperti cabutan bertuah, pertandingan pameran masakan mengikut Zon Kampung Melayu Bintangor, persembahan nyanyian dan banyak lagi. - EDISI UKAS