Cadangan Masukkan Karnival Kebudayaan Durin dalam Kalendar Pelancongan Sarawak Dialu-alukan

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
AHAD, 28 APRIL 2024


SIBU: Cadangan memasukkan Karnival Kebudayaan Durin ke dalam Kalendar Pelancongan Sarawak adalah dialu-alukan berikutan jumlah pelancongan yang mengunjunginya semakin meningkat setiap tahun.
 
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, bagi mencapai hasrat tersebut, usaha dan kerjasama erat amat diperlukan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta semua pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.
 
“Sektor pelancongan dan kebudayaan memainkan peranan amat penting dalam membantu membangunkan ekonomi Malaysia selaras dengan pertumbuhan ekonomi semasa.
 
“Borneo khususnya Sarawak dikenali di seluruh dunia kerana biodiversitinya yang kaya dan menjadi tanggungjawab semua untuk mempamerkan serta melindungi khazanah yang indah ini,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Setiausaha Politik Premier Sarawak Joshua Ting Fu Ying pada Majlis Perasmian Karnival Kebudayaan Durin 2024 di Tebingan Pasar Durin, Sibu pada Sabtu.
 
Sementara itu, beliau turut meminta semua pemimpin masyarakat, ketua jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri dan semua lapisan masyarakat di Pekan Durin agar terus memperkasa dan memelihara seni, budaya dan warisan bangsa dengan sebaik-baiknya.
 
Katanya, ia merupakan khazanah yang amat berharga yang tiada gantinya dan akan diwariskan kepada generasi yang berikutnya agar tidak pupus ditelan zaman, di samping menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan yang berteraskan warisan.
 
Hadir sama Pengerusi MDLBS Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai, Pengerusi Pengelola Karnival Kebudayaan Durin 2024 Kaunselor Datuk Teo Boon Siew.-EDISI UKAS