Pertanian Sektor Penting Dalam Usaha Sarawak Capai Status Negeri Berpendapatan Tinggi Menjelang 2030

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
AHAD, 28 APRIL 2024


HULU RAJANG: Pertanian merupakan salah satu sektor yang penting dan perlu dititik beratkan dalam usaha mencapai hasrat kerajaan Sarawak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata secara majoriti, penduduk di Sungai Asap menceburkan diri dalam sektor pertanian dan mengalu-alukan kedatangan Felcra Niaga Sdn Bhd (FNSB) ke Sungai Asap yang membawa input pertanian untuk penduduk di situ membangunkan industri ini.
 
“Pada hari ini kita menyaksikan satu kolaborasi yang sangat baik dan kita ucapkan terima kasih kepada pemimpin kita iaitu Pemanca Tony Kulleh, selaku ahli lembaga dalam Pertubuhan Peladang yang telah berjaya membuat kerjasama ini.
 
“Untuk menghasilkan kerjasama ini bukan suatu kerja yang mudah, tetapi kerjasama ini merupakan yang pertama kali di Sarawak. Saya percaya FNSB mempunyai perancangan berterusan untuk membantu pekebun-pekebun kecil kita di kawasan ini. Dan yang tidak kurang pentingnya adalah cara-cara pengunaan baja ini.
 
“Sudah pasti program Jom, Kenali Baja Anda ini akan memberi manfaat dan pengetahuan yang lebih kepada pekebun-pekebun kecil kita.  Dengan harapan ini akan meningkatkan produktiviti dan ekonomi pekebun-pekebun kecil kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Jom! Kenali Baja Anda! di Sungai Asap, Hulu Rajang pada Sabtu.
 
Objektif program ini diadakan adalah untuk memupuk dan mendidik para pekebun dan petani di daerah Belaga khususnya untuk mengetahui kaedah yang tepat dan betul dalam penggunaan baja dan racun terutamanya panaman kelapa sawit bagi memenuhi keperluan kriteria Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
 
Selain itu ia bertujuan untuk merapatkan komuniti petani dan pekebun dengan pembekal baja yang ada di Sarawak.
 
Antara acara sampingan yang turut diadakan adalah mini pameran dan jualan hasil tani serta kraftangan tempatan.-EDISI UKAS