Musim Buah-Buahan Berpotensi Jadi Produk Pelancongan

Disiarkan pada 21 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS



PAKAN : Musim buah-buahan di Bahagian Sarikei, khususnya di Daerah Pakan, menyimpan potensi besar untuk meningkatkan pendapatan serta dijadikan produk pelancongan yang menarik.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, keunikan musim buah-buahan di kawasan ini merupakan satu tarikan yang sangat berpotensi, kerana Bahagian Sarikei dikenal pasti sebagai salah satu kawasan pengeluar makanan utama.

Dengan kekayaan hasil bumi ini, Sarikei berpeluang untuk menjadi destinasi pelancongan agro yang menarik, di mana pelancong boleh menikmati bukan sahaja keindahan alam semulajadi tetapi juga merasai pelbagai jenis buah-buahan segar.

Tan Sri William Mawan Ikom percaya, dengan pemerkasaan sektor pertanian, terutamanya penanaman buah-buahan, ia dapat memperkaya ekonomi tempatan serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan baru bagi komuniti setempat.

"Idea-idea sebegini perlu diteliti serta ditambah baik agar ianya dapat direalisasikan kerana musim buah-buahan tempatan ini adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh penggemar buah-buahan.

"Antara produk buah-buahan yang sentiasa mendapat permintaan tinggi dari Daerah Pakan ialah Durian, Durian Isu, Buah Pakon/Pakan dan Buah Dabai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Gotong-Royong Perdana dan Santai Makan Durian di Pejabat Daerah Pakan.

Turut hadir ialah, Residen Bahagian Sarikei Datu Micheal Ronnie Langgong, Timbalan Residen Bahagian Sarikei Badjuri Bidin, Pegawai Daerah Pakan Mohd Irwan bin Abdullah @ William Manggoi sert Ketua-ketua Kaum dan Masyarakat di Daerah Pakan.

Tan Sri William Mawan berharap program seperti ini dapat diadakan di kawasan lain supaya dapat mempromosi Bahagian Sarikei sebagai syurga buah-buahan. -EDISI UKAS