417 Ekor Anjing Divaksinasi Dalam Program Vaksinasi Rabies Anjuran MPP & DVS

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
28 APRIL 2024


KUCHING: Program vaksinasi Rabies yang dikendalikan bersama oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak telah berjaya memvaksin kepada sebanyak 417 ekor anjing di Balai Raya Taman Desa Wira, pada Sabtu.
 
Penolong Pegawai Kesihatan Alam Sekitar MPP Sumi Linggi berkata, program itu akan dijalankan semula bulan depan meliputi kawasan Landeh, Matang, Batu 7 (Matang), Perbandaran Batu Kawah dan Puncak Borneo.
 
“Kami juga menyeru pemilik anjing yang tinggal di kawasan di luar bidang kuasa MPP untuk menyertai dan mendapat manfaat daripada program ini. Mereka boleh datang juga,” katanya.
 
Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat subsidi mengebiri atau memandulkan anjing sebanyak RM150 seekor, terhad kepada 50 ekor anjing betina bagi setiap program, bagi mereka yang telah mendaftarkan anjing mereka untuk dilesenkan dengan MPP, dan anjing yang telah divaksin.
 
“Jika kuota telah diisi, kami akan membuka lebih banyak slot untuk program seterusnya. Jadi, ia adalah berdasarkan siapa cepat dia dapat.
 
“Biasanya doktor haiwan atau klinik swasta akan mengenakan bayaran berdasarkan berat anjing berkenaan, untuk anjing dengan berat antara 20 kilogram (kg) hingga 30kg, mereka akan mengenakan bayaran sekitar RM250.
 
“Di bawah program kami, selepas kos pengebiran disubsidi, pemilik anjing hanya perlu menampung jumlah yang selebihnya,” kata Sumi.
 
Sementara itu, rata-rata pemilik haiwan peliharaan yang ditemui semuanya bersetuju dengan satu perkara iaitu tidak ada alasan untuk tidak memberi vaksin kepada anjing anda.-EDISI UKAS