25 Bakul Makan Diagih Kepada Pesakit Hospital Mukah Sempena Krismas

Disiarkan pada 21 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Sebanyak 25 bakul makanan telah diagihkan kepada pesakit di Hospital Mukah melalui Program Ziarah Prihatin anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Balingian, sempena Perayaan Hari Krismas 2024 yang berlangsung pada Jumaat.

Program yang penuh makna ini disokong oleh Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Balingian dan Pergerakan Belia PBB 1828 Balingian, yang bertujuan memberi sumbangan kepada pesakit yang memerlukan di saat musim perayaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Pengerusi SABERKAS Cawangan Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata inisiatif seperti ini akan diteruskan dengan semangat prihatin bagi merapatkan hubungan antara pemimpin, pertubuhan, dan masyarakat.

"Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit, tetapi juga mengeratkan hubungan antara semua pihak," katanya.

Abdul Yakub turut meluangkan masa menyantuni pesakit di pelbagai wad seperti Wad Dialisis, Wad Lelaki, Wad Wanita, dan Wad Bersalin sambil menyampaikan bakul makanan yang penuh dengan keperluan asas.

Beliau memberi jaminan bahawa program seumpama itu akan diteruskan bagi menyemarakkan semangat kebersamaan pada perayaan-perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai, dan banyak lagi.

Program ini jelas membuktikan betapa pentingnya peranan SABERKAS Cawangan Balingian dalam memberi sumbangan kepada komuniti, terutamanya pada musim perayaan yang penuh makna ini.

Hadir sama dalam program ini ialah Timbalan Pengarah Hospital Mukah, Dr. Ashadatul Amira Musa, Pemangku Pegawai Daerah Mukah Nolin Gendang, Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, Ketua Pemuda Balingian Kaunselor Ardyman Matan dan Exco Saberkas Negeri Sarawak Muhamad Tarmizi Karnain Abdah. -EDISI UKAS