Loji Tenaga Sejingkat & Balingian Akan Guna Sumber Biojisim

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
28 APRIL 2024


KUCHING: Sarawak akan melaksanakan penjanaan bekalan elektrik 100 peratus menggunakan sumber tenaga hijau tanpa bergantung kepada bahan yang boleh mencemarkan alam sekitar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ke arah itu kerajaan negeri akan meminta Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk membolehkan dua loji tenaga arang batu milik anak syarikat kerajaan Sarawak itu, ditukarkan kepada loji yang bersumberkan biojisim.

“Saya akan berbincang dengan pihak SEB selepas saya melawat loji janakuasa Drax. Kita ada pusat jana kuasa yang menggunakan batu arang iaitu di Sejingkat dan Balingian.

“Apa yang berlaku di Drax, ia menggunakan batu arang dan sekarang ini ia tidak gunakan batu arang, ia digantikan dengan biojisim dan pelaburannya tidak banyak sebab sistemnya serupa.

“Ini akan kita gunakan untuk Sejingkat dan Balingian, bahkan kita boleh jana lebih daripada 500 megawatt. Kita hanya memperkuatkan 'boiler' dan juga dari sudut jenteranya,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan di Tebingan Sungai Kuching, pada Ahad.

Untuk rekod, loji arang batu milik SEB di Sejingkat kini menghasilkan tenaga sebanyak 210 megawatt manakala loji arang batu di Mukah dan Balingian menghasilkan tenaga sebanyak 270 dan 624 megawatt.-EDISI UKAS