BINTULU: Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Rumah Panjang Sait, KM22 Simpang Airport, Jalan Bintulu/Tatau baru-baru ini berlangsung dengan jayanya dengan kehadiran lebih 400 penduduk.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar bersama isteri Puan Sri Dato Fatimah Mohd Iskandar.
Dalam ucapan ringkas,Tan Sri Mohamad Asfia menekankan kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah terbukti melalui kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi DUN Jepak baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pengagihan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) oleh GPS dilakukan secara adil dan saksama untuk memastikan semua kawasan mendapat manfaat.
Pada majlis tersebut, sebanyak 51 cek MRP bernilai keseluruhan RM510,000 telah disampaikan kepada 51 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Selain itu, program ini turut diserikan dengan pertandingan poco-poco dan karaoke, yang berjaya memeriahkan suasana dan mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Majlis ini dilihat sebagai platform untuk terus memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat, selaras dengan agenda pembangunan inklusif GPS di Sarawak.-EDISI UKAS