Surau Darul Iman Jayakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 2024

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN : Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Surau Darul Iman Kampung Kelka Lama meriah dengan kehadiran wakil rakyat dan komuniti setempat di perkarangan surau tersebut di sini pada Ahad.

Kemeriahan itu diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris serta isteri Napsiah Abang Kaderi dan beberapa tetamu kehormat lain.

Menyambut kehadiran tetamu dan menyantuni tetamu yang hadir ialah Pengerusi Surau Darul Iman Kampung Kelka Lama, Awang Shukeran Awang Zain dan ahli-ahli jawatankuasa surau.

Awla berkata, majlis yang dihadirinya itu cukup meriah dengan kehadiran komuniti setempat.

"Saya berharap majlis ramah-tamah ini akan terus memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat serta mewujudkan kefahaman dan toleransi antara penduduk di sini," katanya.

Beliau berterima kasih kepada pengerusi Surau Darul Iman yang menjemput beliau hadir pada majlis yang amat bermakna tersebut.

Tetamu disajikan pelbagai juadah hari raya yang cukup menyelerakan.

Dalam majlis yang sama Awla turut menyampaikan saguhati kepada anak-anak yang tamat khatamal Al-Quran dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan rumah lampu terbaik serta rumah ceria sempena sambutan hari raya.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Simunjan Rafhan Kepli, Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan Hasbi Ancheh, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan Mohd Raili Jawawi, Pengerusi Surau Darul Iman Kampung Kelka Lama Awang Shukeran Awang Zain, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simunjan No. 1 Dr. Len Nasir serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Simunjan. -EDISI UKAS