Penduduk Kampung Sileng Bakal Nikmati Pembangunan Melibatkan Infrastruktur Asas

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


LUNDU: Penduduk di Kampung Sileng bakal menikmati pelbagai pembangunan yang melibatkan infrastruktur asas di kawasan Dewan Undangan Sarawak Tanjong Datu. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan memberitahu, jumlah keseluruhan yang telah disalurkan oleh kerajaan Sarawak adalah sebanyak RM60 juta bagi memulakan beberapa projek insfrastruktur. 

Beliau berkata demikian semasa mengadakan kunjungan ke rumah terbuka anjuran empat buah kampung di kawasan beliau pada Sabtu. 

Mengiringi beliau ialah barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Tanjong Datu. 

Antara projek besar yang sedang dijalankan dengan perbelanjaan RM13 juta ialah pembinaan benteng hakisan sungai di sepanjang Kampung Sileng dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi. 

Selain itu, kerajaan turut menyalurkan dana sebanyak RM30 juta untuk Pekan Lundu bagi menyelesaikan masalah banjir yang sering menjejaskan aktiviti penduduk termasuk mereka yang datang dari Kampung Sileng. 

Bagi perancangan masa hadapan pula, kerajaan Sarawak telah menyalurkan dana sebanyak RM3.5 juta bagi membina baharu dewan serbaguna di Kampung Sileng bagi memudahkan penganjuran aktiviti dan majlis pada masa yang akan datang. -EDISI UKAS