Sukan Mampu Satukan Rakyat Berbilang Bangsa

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


LUBOK ANTU: Aktiviti sukan amat penting kerana ianya mampu untuk menyatukan rakyat berbilang di Malaysia dan Sarawak khususnya. 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, penglibatan masyarakat berbilang bangsa dalam aktiviti sukan secara tidak langsung meningkatkan perpaduan melalui kerjasama mereka untuk mencapai sesuatu kejayaan. 

Menurut beliau, perpaduan merupakan kunci penting dalam pembangunan wilayah Sarawak kerana kerajaan dapat memberi fokus kepada pembangunan. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penutupan Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak 2024 yang berlangsung di sini pada Sabtu. 

Beliau dalam kesempatan itu mengucapkan syabas dan tahniah kepada sekolah yang berjaya mendapat tempat sekaligus melayakkan diri mereka ke peringkat negeri. 

Datuk Dr Malcolm yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai turut meluluskan dana projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM100,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Antu bagi tujuan pendawaian sekolah berkenaan. 

Bagi kontinjen yang akan mewakili Sarawak pula, beliau memberi suntikan awal sebanyak RM10,000 kepada 30 atlet manakala RM10,000 lagi kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu untuk membawa kontinjen Sarawak ke peringkat seterusnya. 

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lubok Antu turut menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada beliau. 

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Sarawak Datuk Azhar Ahmad, Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu Vivien Mujah, Pengetua SMK Lubok Antu Tracy Brittin serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS