PDA 74, OMO 58 Perlu Wujud Bersama

Disiarkan pada 19 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74) dan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 58) perlu wujud bersama bagi memastikan pelaksanaan industri minyak dan gas berjalan lancar di Malaysia.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, biarpun Sarawak mempunyai hak tersendiri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk melaksanakan undang-undang dan ordinan sendiri, namun kedua-dua akta ini perlu dilaksanakan bersama.

“Apa yang kita cadangkan ialah PDA 74 dan OMO adalah dua undang-undang yang mesti wujud bersama. Ia mesti digabungkan dan dilaksanakan bersama,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Meja Bulat Forum Kerjasama Malaysia (Sarawak)-China Dan Bandar-Bandar Persahabatan di sini pada Khamis.

Tambahnya, hak Sarawak terhadap semua mineral dan sumber semula jadi yang terdapat di bawah dasar laut dan subsoil dalam sempadan laut miliknya adalah mutlak, namun sesiapa sahaja boleh datang dan meneroka serta membangunkan sumber miliknya asalkan mereka melalui Sarawak untuk mendapatkan kebenaran, memohon permit, dan sebagainya.

Dalam pada itu, Datuk Sharifah Hasidah memberitahu, Kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama dengan pelbagai negara dalam memastikan pembangunan terus dijalankan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Jelasnya, hal ini adalah sebab Sarawak mempunyai kerjasama rapat dengan China dan negara-negara lain di rantau Asia dalam usaha untuk menarik pelabur datang ke Sarawak.

“Kita sedang bergerak ke peringkat global untuk membawa masuk pelabur ke Sarawak kerana inilah langkah ke hadapan dan inilah yang sedang dilakukan oleh Sarawak.

“Jadi, kita berharap pada masa hadapan, kita dapat terus berjaya dan berusaha keras untuk mendapatkan lebih ramai pelabur ke Sarawak, bekerjasama dengan negara seperti China, Jepun dan Korea,” ujarnya lagi.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Sarawak mewakili Premier Sarawak, Datuk Michael Ming Tee; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng; Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman serta dif-dif kenamaan yang lain. -EDISI UKAS