KUCHING: Festival Glamping Borneo Highlands 2.0 melakar sejarah baharu dalam landskap pelancongan Sarawak apabila berjaya menarik lebih 250 khemah dan peserta dari 10 negara, termasuk Semenanjung Malaysia dan Singapura.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata festival ini mencerminkan usaha Sarawak untuk mempelbagaikan tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi dengan pendekatan kreatif.
Katanya, ‘glamping’ atau aktiviti perkhemahan secara glamor kini menjadi trend global dalam pelancongan.
“Festival ini bukan sekadar percutian mewah di alam semula jadi, ia adalah platform untuk mempromosikan keindahan Sarawak secara mampan.
“Glamping berpotensi menarik pelancong yang menghargai ekopelancongan, sekaligus membantu kita mencapai sasaran 5 juta pelawat menjelang 2025,” katanya ketika merasmikan program itu di Borneo Highland, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Penduduk Borneo Highlands, Dato Lo Khere Chiang, menyifatkan acara ini sebagai peluang keemasan untuk menyerlahkan kekayaan semula jadi kawasan tersebut.
“Kawasan ini merupakan harta alam yang harus kita lestarikan. Dengan festival seperti ini, kita tidak hanya meraikan keindahan alam tetapi juga memperkukuh semangat komuniti dan ekopelancongan,” jelas beliau.
Manakala Pengarah Urusan Borneo Glamping Awang Saifeluddin menegaskan kejayaan festival ini terhasil daripada sokongan padu pihak berkepentingan.
“Glamping adalah visi kami untuk menjadikan Sarawak destinasi pilihan pelancong global.
“Dengan kerjasama strategik seperti Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Sarawak (RECODA), Sarawak Tourism Board dan Tourism Malaysia, kami yakin produk pelancongan ini akan terus berkembang,” katanya.
Festival Glamping Borneo Highlands 2.0 menawarkan pengalaman yang menggabungkan aktiviti luar, budaya tempatan dan pemandangan memukau.
Sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, festival ini menjadi batu loncatan untuk menjadikan ‘glamping’ sebagai produk pelancongan ikonik Sarawak yang mampu menarik pelancong dari seluruh dunia.-EDISI UKAS