MUKAH: Seramai 109 penerima Surat Kelulusan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Tellian Tengah Fasa 1 dan dua penerima cek pampasan tanah hadir dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Persidangan Tingkat 1, Menara Pehin Setia Raja, Mukah pada Rabu.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
Selain itu, dua cek pampasan tanah turut diserahkan kepada penerima Projek Pemutihan Tapak Tanah Surau Darul Taqwa, Jalan Orang Kaya Setia Raja, Kampung Tellian, Mukah dengan jumlah keseluruhan RM126,372.
Pada majlis sama, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Mukah, Dahari Anis turut memberi penjelasan mengenai Skim Pembesaran Kampung, penukaran Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada surat hakmilik tanah serta kerja-kerja lapangan yang dijalankan di bawah SPK Tellian Tengah Fasa 1.
Manakala pada sesi pagi, penerima turut diberikan taklimat oleh Housing Development Corporation (HDC) dan Mutiara Mortgage mengenai bantuan pembinaan rumah yang disediakan Kerajaan Sarawak.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip; Pegawai Agama Islam Bahagian Mukah, Muhammad Adib Saini dan Pegawai Tadbir HDC, Abang Zaidan Abang Abdul Rahim.-EDISI UKAS