Tuai Rumah Pikul Tanggungjawab Penting Pelihara Kebajikan Rakyat

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


PAKAN: Tanggungjawab tuai-tuai rumah amat penting dalam menjaga kebajikan rakyat dengan adil tanpa mengira idealogi ataupun sokongan politik.
 
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Tan Sri William Mawan Ikom berkata kerjasama yang diberikan oleh semua tuai-tuai rumah akan dapat membantu meringankan kerja-kerja yang dijalankan di samping memudahkan serta mempercepatkan pembangunan yang bakal dilaksanakan.
 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan berkata tuai-tuai rumah adalah tempat rujukan rakyat untuk membangkitkan isu-isu kawasan masing-masing  kepada pemimpin di samping menjadi penyalur maklumat serta dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.
 
Justeru, beliau menyeru agar semua rakyat di Pakan bersatu hati dan tidak berpecah belah kerana ianya akan merugikan semua.
 
Beliau berkata demikian semasa Majlis Kesyukuran KMKK bertempat di Rumah Minang Jelanggai, Batu 2 Jalan Pakan-Engkamop pada Ahad.
 
Tan Sri William Mawan juga berharap tuai-tuai rumah yang baru dilantik dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkin agar rakyat mendapat manfaat dari semua pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
 
Katanya, kepercayaan serta lantikan yang diberikan bukan sekadar jawatan semata-mata tetapi merupakan satu tanggungjawab besar kepada rakyat dan kerajaan.
 
Seramai 21 orang tuai-tuai rumah baru telah menerima sijil pelantikan masing-masing pada penghujung Mac yang lalu.
Hadir sama pada majlis ialah Ketua-ketua Jabatan dan Tuai-tuai rumah di kawasan Jalan Pakan-Engkamop. - EDISI UKAS