700 Pegawai & Anggota PDRM Kontinjen Sarawak Bertugas Pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Hari Krismas 2024

Posted on 17 Dec 2024
Source of News: UKAS


KUCHING: Seramai 700 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak bakal bertugas pada Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Hari Krismas 2024.

 

Dalam satu kenyataan media pada Selasa, Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Dato Mancha Ata menjelaskan bahawa PDRM Kontinjen Sarawak, khususnya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bakal menganjurkan Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Hari Krismas 2024 dan Hari Bertemu Pelanggan PDRM Kontinjen Sarawak.

 

Menurutnya, kempen tersebut akan bermula pada 23 hingga 27 Disember di Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak yang bertujuan menurunkan kadar kemalangan jalan raya serta menguatkuasakan undang-undang dan peraturan lalu lintas di Sarawak sepanjang tempoh perayaan Hari Krismas 2024.

 

“Bersempena kempen ini juga, PDRM Kontinjen Sarawak khususnya JSPT akan membuka kaunter semakan dan pembayaran saman mulai 18 hingga 20 Disember 2024 di Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

 

“Pembukaan kaunter semakan dan pembayaran saman ini adalah bertujuan untuk membantu masyarakat setempat dan orang ramai untuk menyelesaikan saman-saman PDRM yang tertunggak dengan kadar diskaun 50 peratus,” katanya.

 

Tambahnya, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan membuka Perkhidmatan Kaunter JPJ Mobile pada 18 Disember di lokasi yang sama yang menawarkan perkhidmatan seperti pembaharuan lesen memandu (CDL/PDL), pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM), pemeriksaan PG.10 bagi motosikal yang telah tamat tempoh LKM/Roadtax lebih tiga tahun, semakan senarai hitam/saman dan pembayaran saman JPJ.

 

Dato Mancha turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas serta arahan daripada anggota penguatkuasa yang bertugas di jalan raya di sepanjang tempoh musim perayaan ini. -EDISI UKAS