TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Pertubuhan Turath Sarawak

Disiarkan pada 17 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Pertubuhan Turath Sarawak, di Balai Mengadap, Astana Negeri pada Selasa.

Kunjungan ini bertujuan untuk memperkenalkan Pertubuhan Turath Sarawak serta barisan ahli jawatankuasa penganjur yang baru sahaja ditubuhkan pada Mac 2024 kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Turath Sarawak, Khalid Khan Abdullah Khan, ia juga menjadi platform bagi memperkenalkan aktiviti-aktiviti awal yang telah dijalankan sejak penubuhan.

“Sejak ditubuhkan, kami telah melaksanakan dua program utama. Satu di Miri pada Jun yang lalu, dan yang terbaru di Mukah, termasuk kawasan Oya dan Balingian.

“Program tersebut melibatkan aktiviti di masjid dan surau, termasuk sesi dialog bersama pengerusi serta jawatankuasa masjid dan surau,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai kunjungan berkenaan.

Tambahnya, objektif utama penubuhan pertubuhan itu adalah untuk memperkukuh pemahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di kalangan masyarakat, selari dengan usaha yang diperjuangkan oleh agensi kerajaan dan Majlis Agama Islam.

“Kami bergerak seiring dengan pihak berkuasa agama. Setakat ini, kami telah berbincang dengan JAKIM dan sedang merancang kolaborasi dalam program-program yang akan datang,” katanya.

Mengenai keahlian semasa ujarnya, wakil pertubuhan memaklumkan bahawa jumlah ahli masih terhad, namun usaha promosi sedang giat dijalankan untuk menarik lebih ramai penyertaan.

Tambahnya, bagi perancangan tahun hadapan, Pertubuhan Turath Sarawak merangka program berskala lebih besar yang akan menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat melibatkan golongan asatizah, orang awam, belia, pelajar, dan kumpulan sasaran lain, bertujuan memantapkan lagi kefahaman agama dan menyebarkan manfaat ilmu kepada komuniti.

Dengan langkah proaktif dan kerjasama strategik bersama agensi-agensi berkaitan, Pertubuhan Turath Sarawak beraspirasi untuk menjadi pemangkin kepada pemahaman agama yang harmoni dan menyeluruh di negeri ini.-EDISI UKAS