BELAGA: Pemilihan seorang ketua dalam mana-mana satu parti politik amatlah penting dalam mengelakkan perpecahan dalam sesebuah parti tersebut.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, sesebuah organisasi tidak boleh ada dua ketua kerana nanti ia akan menyebabkan perpecahan.
“Kalau kita lihat di kawasan-kawasan kita yang lemah, masalahnya adalah kepimpinan, baik di peringkat cawangan atau ranting.
“Jika kita lihat di kampung atau rumah panjang yang maju, kepimpinannya memang ada kebolehan manakala yang porak poranda, kepimpinannya ada masalah dari segi pengurusan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.65 Belaga di Dewan Masyarakat Belaga pada Isnin.
Naib Yang Dipertua PBB Sarawak itu menambah PBB harus sentiasa berhati-hati agar semangat setiakawan dengan rakan-rakan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Jelasnya, PBB perlu belajar untuk menerima atau tidak menerima pendapat rakan yang lain kerana PBB merupakan parti besar maka tidak dapat menerima 100 peratus dalam pendapat dan idea-idea.
“Apabila majoriti mengatakan idea itu bagus, kita perlu akur dan ikut supaya parti kita tidak porak poranda.
"Ini nasihat bukan hanya untuk PBB sahaja, tetapi juga untuk rakan-rakan komponen yang lain dalam GPS,” katanya.
Dalam pada itu, pertandingan bagi jawatan Ketua Cawangan di Cawangan Belaga akan berlangsung tetapi proses pemilihan dijangka akan berjalan dalam suasana yang mesra dan dengan semangat keluarga besar PBB.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang; Ketua Cawangan PBB N.65 Belaga Lesly Luyoh Akah serta dif-dif kehormat yang lain -EDISI UKAS