BETONG: Program Tuisyen Rumah Panjai Kohot 3 menjadi platform untuk menanam sifat ingin belajar kepada anak-anak di rumah panjang.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berasa teruja melihat penyertaan rumah panjang sejak kohort 1 dan sekarang kohort 3 yang sentiasa meningkat.
“Semoga program ini dapat menanam sifat ingin belajar dan semangat ingin bersaing.
"Sifat ini akan membentuk tabiat, yang akan menjadi amalan, tanpa perlu dipaksa, dari kecil hingga dewasa dan membawa ke arah kejayaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Tutor 'Program Tuisyen Rumah Panjai Kohot 3' anjuran Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan N.36 Layar di Dewan Gereja St Augustine di sini baru-baru ini.
Tambahnya, Program Tuisyen Rumah Panjang ini juga boleh dijadikan sebagai aktiviti tahunan untuk dimasukkan di dalam laporan dan dimajukan kepada pihak Pejabat Daerah Betong.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu memberitahu, isu kanak-kanak sekarang adalah masalah obesiti dan ada juga masalah kurang nutrisi yang berkaitan pemakanan dan gaya hidup.
Jelasnya, ini akan jadi tumpuan seterusnya oleh Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan DUN Layar (LEDC) di mana pihaknya akan mengadakan seminar berkaitan perkara ini. -EDISI UKAS