Pra Krismas PETIPUN Kecil Penan Tingkatkan Perpaduan Komuniti di Tinjar

Disiarkan pada 17 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


TINJAR: Majlis Pelancaran Pra Krismas PETIPUN Kecil Penan Tinjar mencatat sejarah sebagai perhimpunan terbesar masyarakat Penan di kawasan ini, dengan kehadiran lebih 200 penduduk dari enam rumah panjang.

Program yang berlangsung di Dewan Rumah Wen Magelit, Bukit Baled, ini menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama komuniti setempat.

Acara anjuran PETIPUN Kecil Penan ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr. Penguang Manggil.

Datuk Dr. Penguang Manggil dalam ucapannya menekankan bahawa pembangunan masyarakat Penan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Beliau berkongsi bahawa hampir RM5 juta telah disalurkan kepada enam rumah panjang tersebut sejak beliau menjawat jawatan ADUN Marudi.

“Dana ini digunakan untuk pelbagai projek seperti pembinaan rumah panjang tanpa faedah, jalan kampung, gereja, gelanggang futsal, dewan dan jambatan.

“Kerajaan akan terus komited memastikan masyarakat Penan mendapat manfaat yang sewajarnya,” jelasnya.

Beliau turut menyeru masyarakat Penan agar tidak mudah terpedaya dengan janji kosong pihak pembangkang yang hanya muncul menjelang pilihan raya.

Sementara itu, Ketua Masyarakat Penan Tinjar Tengah Penghulu Larek Mat, dalam ucapannya juga menyatakan bahawa program ini melibatkan enam rumah panjang Penan, iaitu Rumah Wen, Rumah Peberi, Rumah John, Rumah Agnes, Rumah Ismail dan Rumah Galau.

“Majlis ini bukan sahaja untuk meraikan perayaan Krismas, tetapi juga untuk memupuk perpaduan dan silaturahim di kalangan masyarakat Penan,” katanya.

Aktiviti seperti persembahan kebudayaan dan sukaneka memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi selain mempamerkan keunikan budaya masyarakat Penan.

Majlis ini turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah bagi memastikan penglibatan penuh penduduk sepanjang acara.

Selain menjadi persiapan menyambut Krismas, program ini mencerminkan semangat kerjasama dan harmoni antara komuniti setempat, sekali gus memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat.

Dengan sokongan kuat daripada kerajaan Sarawak dan penglibatan aktif masyarakat, pra Krismas PETIPUN Kecil Penan bukan sekadar satu perayaan, tetapi simbol kekuatan perpaduan masyarakat Penan dalam meneruskan agenda pembangunan dan kemajuan bersama.

Majlis turut dihadiri pemimpin tempatan, termasuk wakil Pegawai Daerah Beluru Alvin Mang dan Pengerusi Majlis Daerah Marudi Kr. Edward Mendai serta Ketua-Ketua Masyarakat dan Kaum.-EDISI UKAS