Bekalan Air Bersih Di Selangau, Stapang Perlu Diselesaikan Segera

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SELANGAU: Projek bekalan air bersih di Selangau dan Stapang perlu diselesaikan segera bagi memberi kemudahan air kepada penduduk di dua kawasan itu

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang berkata, Kerajaan mempunyai perancangan untuk menaik taraf loji bekalan air di Selangau dan di Stapang dengan peruntukan yang diluluskan sebanyak RM200 juta melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). 

Namun begitu katanya, sejak tahun 2018 tiada perubahan berlaku dengan kerajaan masih lagi memberitahu projek tersebut masih dalam peringkat perancangan. 

"Saya amat berasa tidak puas hati kerana perancangan ini begitu lama namun sehingga kini rakyat masih belum medapat bekalan air bersih. 

"Saya akan menyuarakan permasalahan ini sekali lagi semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang kerana Rakyat tidak boleh dibiarkan terlalu lama menunggu," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Program Agricop Siri 02/2024 N60 Tamin di sini pada Sabtu. 

Justeru, beliau berharap agar KPLB harus mengambil perhatian yang serius pekara ini dan kedua projek tersebut harus dipercepatkan untuk memberi kemudahan air bersih kepada penduduk rumah rumah panjang.

Dalam pada itu, beberapa projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di sekolah seperti di SK Kuala Pelugau dan SK Batu 36 tidak boleh diteruskan disebabkan pekeliling yang telah dikeluarkan oleh pihak kementerian pendidikan biarpun tiada masalah sebelum ini. 

"Contohnya di SK Kuala Pelugau saya telah memperuntukkan RTP untuk membina pentas utama dan parkir kereta,” tambahnya. 

Namun begitu, Christopher memberitahu, projek-projek RTP yang lain berjalan dengan lancar dan diharapkan rakyat Tamin memberikan kerjasama sepenuhnya kepada agensi pelaksana bagi melancarkan projek-projek pembangunan. - EDISI UKAS