Sarawak Cipta Rekod Anjur 238 Acara Sepanjang 2024, Tarik Perhatian Negeri Lain

Disiarkan pada 16 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Sarawak terus mencuri tumpuan sebagai destinasi pelancongan dan budaya terkemuka di Malaysia dengan kejayaan menganjurkan 238 acara sepanjang tahun ini.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pencapaian ini menunjukkan komitmen negeri dalam memastikan Sarawak kekal meriah dan relevan sebagai pusat tarikan pelancong.

“Sepanjang tahun ini hingga penghujung Disember, kita telah menaja atau membiayai 238 acara. Dengan 365 hari dalam setahun, hampir setiap minggu ada sesuatu berlaku di Sarawak,” katanya dalam sidang media Front Row Live Series 2025 di sini pada Isnin.

Katanya, acara-acara ini meliputi pelbagai tema seperti muzik, budaya, sukan, dan makanan, menjadikan Sarawak sebuah negeri yang hidup dan penuh daya tarikan.

“Ini menjadikan Sarawak negeri yang sangat dicintai dan mungkin sedikit dicemburui oleh negeri-negeri lain.

“Kita terima banyak pujian atas keupayaan mengurus dan menganjurkan begitu banyak acara sepanjang tahun,” tambah beliau.

Berkongsi perancangan tahun 2025, katanya Sarawak akan menjadi tuan rumah Front Row Live Series 2025 dengan pembukaan Boney M 50th Anniversary Tour Concert di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 4 Januari.

Selain itu, siri ini akan diteruskan dengan festival komedi secara langsung di Kuching dan konsert muzik di Miri, menambahkan lagi daya tarikan negeri sebagai destinasi pelancongan budaya dan hiburan.

Hadir sama, Pengerusi Penganjur, Zaid Zaini dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Desmond Douglas Jerukan. - EDISI UKAS