Pelabuhan Bintulu Bawa Sarawak Ke Peringkat Global

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Pengambilalihan Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) diyakini akan memacu ekonomi negeri dengan lebih agresif dan berdaya saing di peringkat global.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata kerjasama dengan pelbagai agensi harus dikekalkan bagi memajukan pelabuhan Bintulu sekali gus menjadi tumpuan kepada pelabur-pelabur dalam negeri dan luar negara untuk menarik pelaburan tinggi.

Ujarnya dengan adanya Pelabuhan Bintulu yang juga merupakan pelabuhan terbesar di Malaysia
menjadikan Sarawak sebagai ‘pemain global’ di negara ini sekali gus melonjakkan ekonomi lebih kompetitif.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 anjuran Lembaga Pelabuhan Bintulu(LPB) di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa, adalah penting bagi BPA memelihara kerjasama yang baik dan kukuh dengan Bintulu Port Holdings Berhad yang telah dilesenkan bagi mengendalikan urusan import-eksport pelabuhan.

Pada program tersebut, Datuk Hasbi juga menyampaikan sumbangan raya kepada 61 orang anak-anak dari Peryatim Bintulu.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah LPB,Dato Sharkawi Alis, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holding Bhd, Ruslan Abdul Ghani, Pengurus Besar LPB, Mizool Amir Mat Drus serta tetamu kehormat yang hadir.

Sementara itu dalam perkembangan lain, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Bintulu Port Sdn Bhd telah menganjurkan Nostalgia Aidilfitri 2024 yang diraikan bersama pemegang taruh dan kakitangannya.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Jepak,Johnny Pang dan ADUN Jepak, Iskandar Turkee.

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran seramai 1,000 orang yang berlangsung pada Sabtu.

Hadir sama, Ruslan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holding Bhd, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif, Kumpulan Syarikat Malaysia LNG, Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi, Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey dan Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendent Nixon Joshua Ali.-EDISI UKAS