Kerajaan Sarawak Prihatin Dengan Masa Depan Dua Anak Mendiang Joanna

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Prihatin terhadap nasib dan masa depan anak-anak mendiang Joanna Felicia Rohna, kedua-dua anaknya iaitu Allesia Felice Haslie dan Hovannes Haslie yang masing-masing berusia empat dan satu tahun akan didaftarkan di bawah Yayasan Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak akan menanggung pembelajaran kedua-anak mendiang hingga ke peringkat pendidikan tinggi.

"Saya telah memberitahu bapa kanak-kanak ini Haslie Ali bahawa nama anak-anaknya akan didaftarkan di dalam data Yayasan Sarawak dan akan melihat perkembangan melalui bapa mereka dari sudut pendidikan.

"Setelah nama didaftarkan dalam Yayasan Sarawak, kita akan melibatkan diri hingga anak-anaknya melanjutkan pelajaran tertinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumah suami mendiang di Kampung Engkeroh Tebakang pada Ahad.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Kerajaan Sarawak.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Datuk Martin Ben, Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jaem, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, ADUN Bukit Semuja John Ilus dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzruddin Abdul Rahman.

Sebelum ini, mendiang Joanna terkorban dalam nahas insiden dua helikopter yang bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada Selasa lepas.-EDISI UKAS