Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Terima Kunjungan Hormat Daripada UKPS

Disiarkan pada 16 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada delegasi Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) di Astana Negeri Sarawak pada Isnin.

Delegasi tersebut diketuai oleh Pengarah UKPS, Datu Dr. Chai Khin Chung.

Menurut Datu Dr. Chai, kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk mempersembahkan pakaian seragam operasi UKPS bersama beberapa cenderamata kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi.

“Barang-barang ini berkaitan dengan sejarah penubuhan UKPS, termasuk aksesori dan memorabilia yang berkaitan dengan penubuhan Sarawak 'Coast Guard'," katanya ketika ditemui pemberita selepas kunjungan hormat tersebut.

Datu Dr. Chai turut menambah bahawa Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi memberikan nasihat berharga untuk meningkatkan usaha penguatkuasaan undang-undang dan pemeliharaan keamanan di Sarawak, serta berkongsi panduan dan pandangan bagi membantu UKPS memperkukuh operasi mereka pada masa hadapan.

Turut hadir ialah Pegawai Keselamatan KP13, Abang Ahmad Abang Julai. -EDISI UKAS