Majlis Ramah Tamah Aidilfitri MAKSAK Matu 2024 Luar Biasa Meriah

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MATU: Kemeriahan sambutan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) Daerah Matu pada tahun ini amat luar biasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata, meskipun cuaca tidak menentu, semangat dan antusiasme yang ditunjuk oleh semua pihak dalam majlis tersebut sangat mengagumkan.
Menurutnya, ia melambangkan kesatuan dan perpaduan yang erat dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa, agama dan kaum di daerah itu.

"Tahniah kepada semua agensi yang terlibat dan hadir menjayakan program hari ini, walaupun daerah Matu tidak begitu besar namun kita berjaya menyambutnya secara besar-besaran.

"Saya berharap agar semua pihak terus bersama-sama berusaha memajukan kawasan ini dan membawa sebanyak mungkin pembangunan serta program-program bagi meningkatkan sosioekonomi masyarakat akar umbi,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri MAKSAK Matu 2024 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD), di Sekaan pada Jumaat.

Dalam ucapan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu turut menyarankan agar penduduk setempat mengambil peluang dan kesempatan dalam majlis seumpamanya untuk berkenalan dan beramah mesra dengan kakitangan agensi kerajaan supaya dapat saling memahami dan membantu antara satu sama lain.

"Agensi kerajaan adalah pemudahcara dan memerlukan kerjasama berterusan antara pejabat wakil rakyat, pihak kerajaan serta agensi-agensi kerajaan bagi memastikan kelancaran program-program di kawasan kita.

"Itulah kunci utama bagi memastikan kawasan ini boleh segera maju ke hadapan,"tambahnya lagi.

Sebanyak 23 booth telah dibuka melibatkan 13 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), tiga sekolah dan tujuh agensi kerajaan, swasta termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Pengisian majlis dirancakkan lagi dengan pertandingan booth 'Rumah Raya Tercantik', persembahan hiburan, pencarian Famili Sedondon, Pasangan Sedondon termasuk Jejaka Segak dan Gadis Ayu Raya.-Edisi UKAS