Konsert Orkestra Kamar ASEZ WAO Satukan Budaya, Pupuk Perpaduan

Disiarkan pada 16 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Konsert Orkestra Kamar Harapan Baru ASEZ WAO menjadi platform unik untuk memupuk perpaduan melalui seni muzik.

Acara yang dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang, menampilkan persembahan mengagumkan daripada pemuzik berbakat dari Malaysia, Singapura dan Korea Selatan.

Dalam ucapannya, Dato Ir Lo menyifatkan konsert ini sebagai lambang kerjasama global melalui anugerah muzik.

“Dalam dunia yang berhadapan cabaran seperti perpecahan sosial, ketidaksamaan dan isu alam sekitar, acara seperti ini mengingatkan kita untuk menangani perkara ini dengan empati dan kreativiti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program itu yang diadakan di Universiti Swinburne, Kuching pada Ahad.

Dalam pada itu, Dato Ir Lo turut memuji usaha para sukarelawan muda ASEZ WAO dan SSWOW yang komited terhadap misi kemanusiaan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Dedikasi anda menjadi teladan kepada kita semua dalam membina dunia yang lebih penyayang,” tambahnya lagi.

Dato Ir Lo mengakhiri ucapannya dengan menyeru agar lebih banyak usaha seperti ini diteruskan untuk menyatukan masyarakat melalui keindahan muzik, sambil mengucapkan Selamat Hari Natal dan Tahun Baru kepada semua yang hadir.

Para penonton dihiburkan dengan persembahan bervariasi, termasuk serenade klasik dan runut bunyi filem yang digemari.

Keunikan acara ini turut dimeriahkan dengan pengalaman budaya seperti permainan tradisional Korea serta peluang mencuba pakaian tradisional hanbok.

Selain persembahan muzik, inisiatif alam sekitar yang dipamerkan dalam acara ini mencerminkan komitmen ASEZ WAO terhadap kemampanan.

Dengan usaha yang konsisten, mereka berjaya menyampaikan mesej perpaduan sambil menyebarkan kegembiraan dan harapan kepada masyarakat, sejajar dengan prinsip Malaysia Madani.-EDISI UKAS