RM9 Bilion Diperlukan Menggantikan Paip-Paip Lama Seluruh Negara

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Sekurang-kurangnya RM9 bilion diperlukan bagi menggantikan paip-paip lama di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof menjelaskan kebocoran paip menjadi penyumbang utama kepada air tidak terhasil iaitu 40 peratus daripada penghasilan air bersih.

“Isu paip memang menjadi cabaran di seluruh negara kita ini, kita memerlukan lebih kurang RM9 bilion untuk seluruh negara.
“Purata air bukan hasil yang hilang macam itu sahaja di sebabkan kebocoran paip ataupun sama ada kecurian dan sebagainya lebih kurang 40 peratus.

“Dari segi kerugian, sangat besar iaitu dari segi kehilangan air itu sahaja,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Hari Air Sedunia “Water For Peace” Peringkat Kebangsaan di Tebingan Sungai Kuching di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, kerja-kerja penggantian paip telah dimulakan secara beperingkat mengikut bajet yang telah disalurkan kepada kerajaan negeri melalui geran ataupun pinjaman.

“Program ini merupakan program berterusan dan kita akan bantu setiap negeri, namun bergantung dengan peruntukan yang kita terima.

“Kita akan agihkan kepada seluruh negeri di Malaysia ini untuk dapat, tapi fokus kita salah satu ialah memang untuk menyelesaikan isu paip-paip bocor, menggantikan paip paip lama,” ujarnya.-EDISI UKAS