Sarawak Di Hadapan Dalam Sektor Tenaga Boleh Diperbaharui Di Malaysia

Disiarkan pada 16 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Sarawak berada di barisan hadapan dalam sektor tenaga diperbaharui berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Fadillah Yusof berkata, Sarawak telah mencapai lebih 60 peratus kemajuan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui melalui kuasa hidro, tenaga solar, empangan melata dan biojisim.

"Di Semenanjung hanya mencapai 20 peratus bagi tenaga boleh diperbaharui tetapi kerana di sana tiada sungai yang banyak maka hanya menfokuskan kepada tenaga solar.

"Namun begitu, komitmen kita secara bersama sebagai sebuah negara menjelang 2050 adalah untuk mencapai pelepasan sifar bersih karbon yang turut menjadi agenda utama kepada semua negeri di peringkat kebangsaan bagi mencapai sasaran tersebut," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Malam Mesra Media 2024 (Sarawak) di sebuah hotel terkemuka di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air itu menambah, kementeriannya akan terus menyokong Kerajaan Sarawak dalam projek-projek melibatkan utiliti air melalui pemberian geran atau pinjaman.

Jelasnya, ini salah satu tanggungjawab selaku kementerian di peringkat persekutuan dengan melaksanakan pelbagai program sokongan secara geran atau pinjaman kepada pihak kerajaan negeri di seluruh Malaysia.

"Kalau di Sarawak, antara program-program pinjaman yang kita laksanakan yang memberi kesan sampingan bila pelaksanaan adalah perpaipan dalam air di Kuching iaitu korekan-korekan bawah tanah yang dijalankan sekitar bandar di mana semua projek tersebut merupakan proses pembentungan yang kini sedang dilaksanakan termasuk di kawasan Petra Jaya.

"Kini proses tersebut akan memasuki fasa ketiga yang melibatkan kawasan di Kuching Utara dan Kuching Selatan di samping di kawasan-kawasan lain," katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim; Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), Dato Mad Zaidi Mohd Karli; Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha PETRA; Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran, Datu Ir Ts Ahmad Denney Ahmad Fauzi; Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak, Helmy Hamid; Ketua Biro BERNAMA Sarawak, Hamdan Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Angkatan Zaman Mangsang (AZAM), Ali Suhaili; Pengerusi Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Ronnie Teo serta pengamal media yang hadir. -EDISI UKAS