TYT Sarawak Hadir Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Sarawak

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



KOTA SAMARAHAN: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi telah menghadiri Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Sarawak (Zon Selatan) 1445H, bertempat di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Ahad. 

Kursus Perdana Haji ini memberi peluang kepada bakal haji untuk mengulang kaji dan platform bertanya sebarang kemusykilan mengenai haji kepada mereka yang lebih berpengetahuan.

Selain itu, Kursus Perdana Haji bagi musim 1445H/2024M anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negeri bermula hari ini hingga 5 Mei nanti.

Antara lain, ia menjadi kursus terakhir bagi bakal jemaah haji sebagai platform ulang kaji dan pelengkap kepada kursus-kursus haji yang dikendalikan oleh TH di seluruh Malaysia sebelum ini.

Sepanjang kursus itu, bakal-bakal haji akan melalui praktikal seperti bertawaf, sa'ie, melontar jamrah dan ibadat haji lain secara berkumpulan bagi memberi gambaran sebenar di tanah suci.

Sementara itu, TH menyediakan 17 lokasi untuk penganjuran Kursus Perdana di mana di Kuala Lumpur misalnya, ia akan diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 20 dan 21 April

Terdahulu, dalam program itu TYT Sarawak telah menyaksikan penyerahan peruntukan sebanyak RM18 Ribu kepada Bakal Jemaah Haji Sarawak.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Ketua Pegawai Modal Insan Tabung Haji, Zainudin Ismail, Mufti Sarawak, Datu Kipli Yasin serta tetamu lain.-EDISI UKAS