PUSA: Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1 bilion di bawah Program Sejati Madani pada tahun 2024 dengan nilai geran sehingga RM100,000 kepada komuniti untuk menjayakan program tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusuf berkata Program Sejati Madani bertujuan untuk merancakkan ekonomi komuniti yang melibatkan lima sektor tumpuan utama iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti dan aktiviti hijau dan kitar semula.
“Program Sejahtera Komuniti (Sejati Madani) merupakan insiatif Kerajaan Madani yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri ketika pembentangan bajet tempoh hari.
“Saya mengharapkan semua komuniti memohon segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan sama ada dapat atau tidak tindakan utama adalah mencuba dan berusaha ke arah menaik taraf ekonomi penduduk setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Dana Sejati Madani Daerah Pusa di Dewan Rahmaniah Kampung Pusa hari ini.
Selain kerajaan persekutuan katanya, kerajaan negeri turut memberi pelbagai kemudahan antaranya mengekploitasi segala tenaga hijau dan teknologi yang lain bagi menambah baik ekonomi negeri ini.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu turut menegaskan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan melalui program Sejati Madani dan memberi fokus dalam pelaksanaannya agar mendatangkan hasil.
Menyentuh perkara lain, beliau berkata Kerajaan Sarawak sedia membantu para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam pelbagai sektor kerana melalui pendidikan sahaja boleh mengubah kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.
Dalam hal ini tegasnya, pemimpin setempat perlulah mendekati generasi baharu untuk membantu mereka serta berpeluang untuk mendapat tenaga mahir dalam pelbagai bidang.
Sebanyak RM1,267,35 peruntukan Sejati Madani diagihkan kepada 13 buah kampung dalam daerah Pusa dengan pecahan RM1,068,350 kepada 11 kampung di Beting Maro dan dua kampung di kawasan Saribas dengan dana berjumlah RM199,000.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor; ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor serta ketua-ketua masyarakat. - EDISI UKAS