SANTUBONG: Semenanjung Santubong bakal berkembang pesat dengan projek utama seperti jalan raya berkembar, laluan ART, serta pembangunan hotel dan 'marina bay' oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman, optimis bahawa Santubong akan menjadi destinasi maju di masa hadapan.
"Saya selaku Datuk Bandar bersama wakil-wakil rakyat di Santubong akan terus memastikan rakyat-rakyat di sini tidak ketinggalan untum menempah kemajuan dan kepesatan yang akan dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Hari Santubong 2024 yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri di Dewan Komuniti Kampung Santubong pada Sabtu.
Selain itu, kemajuan ini juga diteruskan lagi dengan pembinaan Kompleks Al-Falak yang akan dibuat di Santubong bagi memajukan bidang sains dan teknologi di Sarawak.
Tambahnya, taman arkeologi di Sungai Jaong, Bukit Sam dan Bukit Maras turut dibangunkan sebagai tapak warisan yang dilaksanakan oleh Jabatan Muzium Sarawak.
Dalam pada itu, Dato Hilmy turut mengesyorkan agar Hari Santubong akan menjadi acara tonggak DBKU yang akan jadi acara tahunan. -EDISI UKAS