SARIKEI: Pertubuhan kemasyarakatan di Sarikei digesa supaya lebih aktif dalam membantu menangani pelbagai isu sosial, ekonomi dan kebajikan di kawasan masing-masing.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata badan seperti ini memainkan peranan yang penting dalam membantu golongan rentan yang memerlukan dalam bidang sosial, kesihatan dan pendidikan.
Katanya, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Sarawak terkenal dengan kemesraan dan keharmonian yang wujud dalam kalangan pelbagai kaum, budaya dan agama serta telah menjadikannya satu keunikan di Sarawak.
“Keharmonian di Sarawak ini dapat dilihat melalui kerjasama antara satu sama lain dalam kehidupan seharian. Keunikan ini menjadi asas bagi Sarawak untuk melajukan pembangunan.”
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Cek Projek Khas di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Repok pada Jumaat.
Sebanyak 36 buah persatuan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah menerima cek Projek Khas tersebut.
"Saya berharap sumbangan yang dihulurkan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin," jelas Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei.
Dato’ Sri Huang turut mengimbas usaha-usaha yang telah beliau laksanakan sepanjang lapan tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, termasuk pemberian bantuan beg sekolah, kasut, dan pakaian kepada pelajar-pelajar di kawasan Sarikei.
“Usaha ini bukan sekadar meringankan beban ibu bapa, malah menggalakkan pelajar untuk berusaha gigih mencapai kecemerlangan dalam pendidikan,” ujarnya lagi.
Antara persatuan dan NGO yang menerima peruntukan pada majlis tersebut ialah Kelab Rekreasi Sarikei, Persatuan Tuai Rumah Bahagian Sarikei, 1st Sarikei Co. The Boys’ Brigade in Malaysia, Jawatankuasa Tetap Perayaan-Perayaan Islam Bahagian Sarikei, JKKK Kampung Rh Lat, JKKK Rumah Setia Anak Ungok, JKKK Rumah Man, Kelab Sukan Rekreasi Jabatan Pengangkutan Jalan Sarikei, Kwong Wai Siew Association Sarikei (Sektor Wanita), Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Sarikei, PIBG Sekolah Kebangsaan Adin Sare dan PPWS Perkumpulan Wanita Jalan Getah Sarikei.
Turut menerima adalah Sarikei Kong Fock Cemetery Trust Committee, Badan Perlindungan Kebajikan Murid SK Abang Haji Matahir Sarikei, PIBG Sekolah Kebangsaan Sungai Paoh Sarikei, PIBG Sekolah Kebangsaan Rentap Sarikei, PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Nam Kiew Sarikei, PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Su Dok, PIBG Sekolah Kebangsaan Abang Haji Matahir, PIBG Sekolah Rendah Kebangsaan Udin, Persatuan Melanau Sarikei, PSTN Sosial dan Rekreasi Kung Siong Sarikei, Persekutuan Pengakap Tempatan Sarikei dan Lembaga Pengurus Sekolah SJK Su Ming.
Penerima lain termasuk Persatuan Ping Pong Bahagian Sarikei, Kelab Bola Keranjang Repok, Sarikei, Jawatankuasa Persatuan Warga Emas Bayong, Kelab Tarik Tali Sarikei, Persatuan Bola Keranjang Bahagian Sarikei, Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak, PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kwang Chien, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Sarikei, PIBG SMK St. Anthony Sarikei, Tabung Kelab Polis Sarikei, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sarikei dan Dewan Perniagaan Cina Bintangor.
Sementara itu, penerima geran bersyukur dan
mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Sri Huang dan kerajaan Sarawak atas sokongan berterusan kepada komuniti setempat. - EDISI UKAS