PETRA Lulus 46 Projek Air Di Sarawak Berjumlah RM6.01 Bilion

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah meluluskan 46 projek berkaitan air di Sarawak meliputi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu dengan kos projek sebanyak RM6.01 bilion melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, jumlah peruntukan yang telah diluluskan bagi pelaksanaan tahun ini (RP4, 2024) adalah sebanyak RM298 juta.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memberitahu, projek-projek yang diluluskan ini merangkumi perlindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai dan pemuliharaan muara.

"Seterusnya, antara yang dilaksanakan ialah kajian pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management -IRBM), pembangunan loji rawatan kumbahan, loji rawatan enapcemar, pembangunan sistem pembetungan dan menaik taraf loji rawatan air,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari Air Sedunia “Water For Peace” Peringkat Kebangsaan di Tebingan Sungai Kuching di sini pada Ahad.

Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, kerajaan Persekutuan yakin dengan siapnya keseluruhan projek pelbagai skop ini akan dapat mengatasi isu bencana air, mengurangkan risiko hakisan pantai, meningkatkan penyampaian bekalan air dan pembetungan serta memberi impak yang positif kepada penduduk Sarawak.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kelestarian dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan untuk menjamin impak yang maksimum kepada rakyat Sarawak.

“Pemantauan yang komprehensif dan berterusan merupakan kunci utama kepada pembangunan negara yang seimbang seperti mana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim menerusi Gagasan Malaysia MADANI,” ujarnya.

Sambutan kali ini menjadikan Sarawak tuan rumah adalah bertepatan dengan tema Sambutan Hari Air tahun ini, yang mana kepelbagaian etnik dan budaya di Sarawak merupakan tunjang utama dalam kestabilan dan kemakmuran setempat.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Prof Dr. Sim Hui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Pengerusi bersama Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2024 Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Sarawak Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air Malaysia Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Dato' Mad Zaidi Mohd Karli dan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Jabatan Pengairan dan Saliran, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Mejar (K) Dato' Ir. Dr Ahmad Anuar Othman.-EDISI UKAS