TPM Cadang Syarat Labur & Beli Hartanah, Tarik Peniaga Berhijrah Ke Sarawak

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak dicadang mengenakan syarat kepada peniaga atau pelabur yang ingin berhijrah ke negeri ini agar mendepositkan sekurang-kurangnya RM2 juta atau membeli hartanah tidak kurang daripada RM1.5 juta.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ramai peniaga dari Semenanjung dan Sabah berminat untuk berhijrah ke Sarawak susulan prospek perniagaan dan pelaburan yang ada di negeri ini.

Menurutnya, salah satu syarat untuk mendapatkan status penduduk tetap (PR) di Malaysia adalah pemohon perlu membuat pelaburan di negara ini.

"Oleh itu, saya mahu mencadangkan syarat ini kepada Premier Sarawak memandangkan kelak kita ada bank sendiri.

"Sekurang-kurangnya dengan cara ini, kita dapat menjana lebih banyak pendapatan kepada negeri kita dan pada masa sama, mereka juga boleh mendapat status PR di Sarawak di samping membantu membangunkan negeri dan negara kita," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) N8 Satok Zon 4 Ranting Segedup dan Ranting Sungai Maong di Dewan Haji Kamarudin, Kampung Segedup di sini pada Sabtu.
Dalam ucapan sama, Ahli Parlimen Petra Jaya itu memberitahu, kerajaan persekutuan sudah membentuk pasukan untuk meneliti keseluruhan kos serta reka bentuk bagi pembinaan Pusat Kanser Sarawak.

Katanya, ia susulan persetujuan yang dicapai untuk membina pusat tersebut menggunakan peruntukan kerajaan Sarawak terlebih dahulu.

"Langkah yang diambil Sarawak membuktikan pendapatan serta politik di negeri ini amat stabil sehingga kerajaan dapat memfokuskan kepada usaha membangunkan negeri demi kesejahteraan rakyat.

"Hanya Sarawak yang mampu berbuat demikian. Belum ada kerajaan negeri lain yang memberi pinjaman kepada kerajaan pusat, Sarawak adalah satu-satunya,"tambah beliau.

Terdahulu, Dato Sri Fadillah telah merasmikan Perpustakaan Desa Kampung Segedup yang terketak berhampiran dewan tersebut .

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato' Ibrahim Baki, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Abang Izmawi Abang Ali, Pegawai Perpaduan Bahagian Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Bahagian Kuching Rose Jonathan Garau, Ketua Ranting Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Segedup dan Ranting Sungai Maong Kaunselor Samsudin Sapri dan Abdul Halim Mohamad, Penghulu Kampung Segedup Sulaiman Awi, Ketua Kaum Cabang Segedup Rashidi Solek serta Ketua Kaum Kampung Sungai Maong Masni Morri. -Edisi UKAS