Kerajaan Sarawak Akan Pastikan SUKMA XXI 2024 Berjaya

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



MIRI: Sarawak sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 akan memastikan penganjuran temasya dwitahunan itu berjaya.

 

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin memberitahu, kerajaan negeri memikul tanggungjawab dan amanah yang besar untuk menyediakan persekitaran kondusif kepada para atlet dan pasukan. 

 

“Kita harus memberikan sokongan yang berkekalan dan memastikan setiap peserta merasai pengalaman yang bermakna.

 

“Saya yakin, dengan sokongan daripada semua pihak kita mampu menjadikan SUKMA XXl 2024 sebagai acara yang berjaya dan meninggalkan impak positif kepada perkembangan sukan negara,” jelasnya. 

 

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat pada Majlis Perasmian Larian Baton SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dataran Kipas Miri di sini pada Ahad.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menambah, harapan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg agar edisi SUKMA pada tahun ini merupakan penganjuran yang terbaik pernah dianjurkan.

 

Menurutnya, kerajaan Sarawak juga berharap bahawa kontinjen Sarawak akan menjadi ‘runaway champion’ pada temasya kali ini. 

 

“Harapan terbesar adalah melihat atlet-atlet kita mencapai prestasi cemerlang, mewakili negeri masing-masing dengan penuh semangat dan dedikasi,” ujarnya. 

 

Dalam pada itu, Datuk Dr Ripin Lamat turut melancarkan pameran Sarawak X-Tive dan selepas itu mengunjungi gerai-gerai sekitar bersama rombongan. 

 

Difahamkan, sebanyak enam sukan akan dipertandingkan di Bahagian Miri iaitu sukan pelayaran, ragbi, lawan pedang, karate, bola lisut dan pencak silat. 

 

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Miri Jamalie Busri, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengerusan Korporat MYSED, Abdul Rani Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Reduan. -EDISI UKAS