SEBAUH: Kemudahan perubatan di kawasan pendalaman terus diperkasa bagi memudahkan penduduk mendapat akses perubatan yang lebih efisien.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Klinik Kesihatan Sebauh menerima pelbagai peralatan perubatan asas dengan nilai keseluruhan sebanyak RM53,000.
Menurutnya, antara peralatan tersebut ialah Blood Pressure Monitor, Glucometer Machine, Portable Pulse Oximeter, Adjustable Cervical Collar, Spinal Board, Transcutaneous Jaundice Detector, Fetal Doppler, Stethoscope, dan Handheld Otoscope.
"Sumbangan ini adalah satu usaha murni yang dapat meningkatkan kemudahan perubatan di kawasan Sebauh yang kini mempunyai lebih 30,000 penduduk.
"Ini adalah satu keperluan penting untuk memberikan perkhidmatan kecemasan sebelum pesakit dihantar ke hospital,” katanya semasa majlis penyerahan peralatan perubatan asas di Klinik Kesihatan Sebauh pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebauh itu juga mengumumkan rancangan untuk membina klinik yang lebih besar di atas tanah seluas 50 ekar yang telah dikenal pasti.
Tambah beliau, Kertas cadangan projek tersebut telah dihantar kepada pihak MUDERN untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Persatuan Kebajikan Islam Jabatan Negeri Sarawak (PERKIP) Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu sebagai tanda sokongan kepada usaha kebajikan.-EDISI UKAS