Larian Baton SUKMA XXI Sarawak 2024 Diteruskan Di Miri

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



MIRI: Larian Baton Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 diteruskan di Bahagian Miri pada Ahad.

 

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat telah menyempurnakan pelepasan ‘flag-off’ bagi Larian Baton SUKMA XXI Sarawak 2024 itu di Dataran Kipas Miri pada jam 7.35 pagi.

 

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang, Residen Bahagian Miri Jamalie Busri dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Reduan.

 

Seramai 500 peserta telah menyertai larian sejauh 3.5 kilometer (km) tersebut yang melalui Jalan Kipas, Jalan Sylvia, Jalan Brooke, Jalan Bendahara, Jalan Nahkoda Gampar, Jalan South Yu Seng dan Jalan North Yu Seng.

 

Larian itu diketuai oleh 10 ikon sukan Bahagian Miri yang aktif dalam sukan olahraga, bola sepak, pelayaran dan bina badan.

 

Program telah dimulakan pada pukul 7 pagi dengan para peserta menyertai acara senamrobik dan Zumba.

 

Sebelum ini, Larian Baton SUKMA XXI Sarawak 2024 telah bermula di Bahagian Limbang di Taman Awam Lawas pada Sabtu dengan melibatkan seramai 100 peserta.

 

Larian Baton SUKMA XXI Sarawak 2024 akan diteruskan ke Bahagian Bintulu pada 11 Mei dan Bahagian Mukah pada 12 Mei depan. -EDISI UKAS