Yayasan Sarawak Pastikan Pelajar Tidak Tercicir Pendidikan

Disiarkan pada 12 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yayasan Sarawak memastikan pelajar tidak tercicir daripada pendidikan akibat kekangan pengangkutan.

 

Dalam hal ini, Yayasan Sarawak telah memperkenalkan Program Bas Sekolah Percuma yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma kepada pelajar yang layak.

 

Inisiatif ini mendapat sambutan yang amat baik daripada ibu bapa khususnya daripada golongan B40 yang selama ini menghadapi cabaran dalam membiayai kos pengangkutan anak-anak ke sekolah.

 

Ketua Penolong Pengarah Yayasan Sarawak Zamahari Said berkata, pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah dan kita memastikan pelajar di Sarawak dapat ke sekolah dengan selamat tanpa membebankan keluarga mereka.

 

“Maka dengan usaha dan laluan baru yang memasuki kampung ini akan memudahkan lagi kepada pelajar-pelajar untuk hadir ke sekolah tanpa sebab,” ujarnya.

 

Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman telah melakukan lawatan ke tapak tempat bas berputar di Kampung Paroh di sini pada Khamis.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu mendedahkan bahawa beliau telah menerima beberapa aduan daripada penduduk di kawasan Kampung Paroh mengenai isu lokasi bas mengambil pelajar dari kampung tersebut.

 

Menurutnya, bas sekolah tidak memasuki Kampung Paroh dan menyebabkan ibu bapa menghantar anak-anak ke depan lorong kampung untuk menaiki bas tersebut.

 

Dato Fazzrudin juga telah berbincang dengan pihak Yayasan Sarawak untuk mencari tapak khas untuk bas itu masuk ke dalam kampung supaya para pelajar dapat menaiki bas itu.

 

Difahamkan, mulai esok semua pelajar akan diambil dan dihantar ke dalam kampung dan ibu bapa tidak perlu lagi untuk menghantar anak-anak ke depan kampung. -EDISI UKAS