SIMUNJAN: Kursus pembuatan kuih mampu memperkasakan kemahiran serta meningkatkan pendapatan golongan wanita dan belia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, kursus sebegini amat signifikan dalam usaha kita memperkasakan komuniti, terutamanya dalam kalangan wanita dan belia.
"Ia membuka ruang untuk meningkatkan taraf hidup keluarga serta menyumbang kepada ekonomi tempatan," katanya pada Majlis Penutupan Kursus Pembuatan Kuih Kering Tradisional Sarawak di Kampung Sabun Sedilo di sini pada Khamis.
Tambahnya, kuih tradisional adalah warisan budaya yang perlu kita banggakan dan pelihara kerana kuih kering tradisional bukan sahaja melambangkan keunikan budaya Sarawak tetapi juga mempunyai nilai sentimental kepada masyarakat kita.
"Kuih kering tradisional seperti kuih jaon, kuih gigit manis dan kuih bangkit kelapa perlu dikekalkan dalam kalangan masyarakat masa kini agar ia tidak ditelan zaman serta kuih-kuih ini juga boleh dipromosikan sebagai produk pelancongan.
"Dan saya percaya melalui kursus ini, ia bukan sahaja mempelajari teknik pembuatan kuih tetapi juga memberi peluang untuk mengkomersialkan kuih-kuih ini ke peringkat yang lebih tinggi," jelasnya.
Dalam pada itu, Awla turut memaklumkan bahawa projek bina baharu surau Kampung Sabun Sedilo yang bernilai RM3 juta akan dilaksanakan di tapak surau yang baharu.
Hadir sama, Ketua Kaum Kampung Sabun Sedilo Yahabi Hamdan, Bendahari PBB Cawangan Simunjan Awang Ismail Awang Wahab dan Ketua Ranting Kampung Sabun Awang Bolhi Awang Drahman. -EDISI UKAS