KUCHING: Kes gangguan seksual terhadap lelaki mencatatkan peningkatan terutama dalam lingkungan usia 20 hingga 40 tahun.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri menyeru mangsa gangguan seksual lelaki agar berani tampil membuat laporan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Menurutnya, kerajaan telah menyediakan saluran undang-undang melalui Tribunal Anti-Gangguan Seksual (TAGS) yang mula beroperasi pada Mac lalu bagi mendengar dan menyelesaikan kes gangguan seksual.
“Keberanian mangsa amat penting. Kami mahu mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian.
“Gangguan seksual bukan hanya melibatkan wanita, tetapi lelaki juga menjadi mangsa. Adalah penting untuk semua mangsa tampil ke hadapan agar keadilan dapat ditegakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa Sesi townhall sempena Program Toleransi Sifar Keganasan @Advokasi Antigangguan Seksual di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Khamis.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Santubong tersebut turut menekankan bahawa stigma sosial sering menjadi halangan bagi lelaki melaporkan gangguan seksual, namun TAGS kini menjadi platform bagi mangsa mendapatkan keadilan tanpa rasa takut atau malu.
Jelas beliau, setakat ini, tribunal tersebut telah mendengar 25 kes termasuk satu kes di Sri Aman yang berjaya diselesaikan dengan pampasan sebanyak RM28,000 kepada mangsa.
“Setiap kes adalah unik dan hukuman berbeza bergantung kepada bukti serta situasi. Ada yang melibatkan permohonan maaf sahaja, manakala ada yang menerima pampasan atau kaunseling,” jelas beliau.-EDISI UKAS