Penyertaan Daripada Bidayuh Kalimantan Dalam Adat Ngirumang Ngiradan Eratkan Hubungan

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


TEBEDU: Penyertaan masyarakat Bidayuh dari Kalimantan Barat, Indonesia dalam adat resam Ngirumang Ngiradan mampun mengeratkan lagi hubungan antara Sarawak dan Indonesia.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil berkata, saudara Bidayuh dari Kalimantan Barat wajar dijemput memandangkan Bidayuh serumpun dengan bangsa Dayak yang lain.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ngirumang Ngiradan Daerah Tebedu 2024 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tebedu pada Sabtu.

Dalam pada itu, Datuk Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong memberitahu, penyertaan daripada masyarakat Bidayuh dari negara jiran itu mempu memeriahkan lagi majlis di samping mengetahui adat-adat yang dilakukan semasa majlis di Sarawak ini. 

Dalam program tersebut, masyarakat Bidayuh akan mempamerkan pelbagai jenis makanan, tarian, minuman termasuk pakaian yang berlainan untuk meraih buah padi yang baharu atau lebih dikenali sebagai ‘Ngkarus Pinibak’.

Jika dahulunya Ngiradan Ngirumang ini hanya dilakukan pada waktu pagi tetapi kini boleh dilakukan pada waktu siang dengan pantang larangnya iaitu tidak dibenarkan membawa makanan yang bergoreng dan  pedas serta masakan wajib dimasak di dalam buluh dan  dipanggang.

Hadir sama, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak Datuk Amar Michael Manyin Jawong, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Mona Octavia Sulai Alban, Pegawai Daerah Tebedu Joseph Liaw, Pemanca Bidayuh Tebedu Kane Manung serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS