SKAS Disalur Melalui Sarawak Pay, Bukan Dalam Bentuk Wang Tunai

Posted on 12 Dec 2024
Source of News: Ukas


KUCHING: Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) akan disalurkan melalui akaun Sarawak Pay sebagai langkah membantu golongan sasaran mendapatkan keperluan asas dengan lebih berkesan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bantuan tersebut tidak diberikan dalam bentuk wang tunai.

Menurutnya, dasar kerajaan negeri kini memfokuskan kepada memastikan setiap rakyat khususnya golongan B40 dan M40 sentiasa mempunyai makanan di atas meja.

"Kami telah merangka satu dasar yang dinamakan SKAS, iaitu Sumbangan Keperluan Asas Sarawak, khusus untuk golongan sasaran. Namun, pendekatannya adalah berbeza.

“Bantuan ini tidak diberikan dalam bentuk wang tunai. Sebaliknya, ia akan disalurkan melalui akaun SarawakPay, di mana dana tersebut hanya boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, dan lain-lain yang diperlukan,”jelas beliau.

Beliau berkata demikian dalam Temu Bual Khas Pasca-Belanjawan Sarawak 2025 bersama Premier Sarawak, terbitan TVS yang ditayangkan pada malam Rabu.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, SKAS dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 800,000 penduduk dengan sebanyak RM460 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif ini.

“Kita gunakan kaedah ini sebab kadang-kadang, jika kita memberi wang tunai, ia mungkin digunakan untuk perkara lain. Saya tahu negara seperti Singapura juga menggunakan kaedah seperti ini,”katanya.

Tambah beliau, kedai-kedai runcit, termasuk di kawasan luar bandar, akan didaftarkan sebagai merchant Sarawak Pay bagi memastikan penerima bantuan dapat mengakses keperluan asas dengan mudah.

"Langkah ini bukan sahaja membantu rakyat mengatasi cabaran kos sara hidup, tetapi juga mengukuhkan sistem sokongan ekonomi tempatan,"ujarnya lagi.-EDISI UKAS