KUCHING: Program Intervensi Dual Language Programme (DLP) Sarawak mendapat perhatian tinggi dengan penglibatan tokoh pendidikan dan pelaksanaan bengkel yang bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di negeri ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee menekankan kepentingan usaha bersama untuk memperkukuhkan pelaksanaan Program Imersif Tinggi (HIP) dan Program Dwibahasa (DLP) di negeri ini.
“Penilaian kendiri sekolah dalam HIP menunjukkan pencapaian di tahap Band 4, iaitu tahap imersif yang tinggi.
”Namun, untuk memastikan ketepatan, lebih baik jika pencapaian ini dinilai oleh pihak luar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Dual Language Programme (DLP) Sarawak Intervention: Revitalizing The Highly Immersive Programme For School Leaders Workshop 2024 di sini pada Selasa.
Beliau menggariskan bahawa Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang melaksanakan DLP secara penuh, tanpa pilihan kepada sekolah untuk tidak menyertainya.
Di samping itu, beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap tahap pelaksanaan DLP dan HIP di Sarawak dengan menegaskan perlunya penilaian luaran yang lebih telus.
Dr Annuar turut menekankan cabaran utama yang dihadapi sekolah, khususnya di luar bandar, termasuk kekangan liputan internet walaupun dengan inisiatif seperti Starlink.
“Kita perlu mengenal pasti punca sebenar, sama ada pada kelajuan muat naik atau muat turun internet, untuk memastikan guru dan pelajar mendapat manfaat sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengusulkan program tambahan seperti English for Specific Purposes (ESP) untuk guru-guru yang mengajar Sains dan Matematik, serta program khas English for Science and Technology bagi pelajar seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.-EDISI UKAS