Kerjasama Strategik CENTEXS Commercial dan BAKAT Perkasa Produk Seni Warisan

Disiarkan pada 10 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: CENTEXS Commercial Sarawak telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dalam usaha memperkasa ahli-ahlinya melalui penghasilan dan pemasaran produk seni warisan.

Kerjasama ini dilihat sebagai langkah penting untuk membantu ahli BAKAT mengkomersialkan produk mereka ke pasaran yang lebih luas.

Majlis perasmian kerjasama ini disempurnakan oleh Pengurus Unit Sumber Manusia dan Pentadbiran Kamarul Zaman Rasdi, yang mewakili Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Mohamad Shahren Mohamad Yusri.

Beliau menyatakan bahawa inisiatif ini bukan sahaja mengangkat keunikan seni warisan tempatan, tetapi juga memainkan peranan strategik dalam menghubungkan komuniti dengan peluang perniagaan, sejajar dengan slogan CENTEXS Commercial, “Connecting Communities & Businesses.”

Kerjasama ini merupakan yang pertama antara CENTEXS Commercial dan badan kebajikan berasaskan angkatan tentera.

Fokus utama adalah memastikan produk yang dihasilkan memenuhi standard kualiti pasaran, disokong oleh aspek seperti strategi harga, pembungkusan kreatif, dan penceritaan produk.

Antara produk seni kraftangan yang diketengahkan termasuk gubahan bunga, gubahan sirih junjung tradisional, beg anyaman kontemporari, dan pelbagai hasil seni kreatif lain.

Dengan sokongan teknologi, latihan, dan jaringan pemasaran yang ditawarkan oleh CENTEXS Commercial, ahli BAKAT diharapkan mampu memperluaskan pasaran produk mereka ke dalam dan luar negara, di bawah jenama Sarawak Made Product 2023.

“Melalui kerjasama ini, CENTEXS Commercial komited untuk memperkasakan usahawan BAKAT melalui inovasi dan kreativiti. Kami yakin usaha ini dapat meningkatkan pendapatan komuniti setempat, sambil memperkenalkan produk seni kraf Sarawak ke pasaran global,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program tersebut di Juma’ani Pavilion pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama ini dapat membuka peluang baharu kepada ahli BAKAT untuk berkembang sebagai usahawan yang lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa, sekali gus mempromosikan warisan budaya Sarawak ke peringkat dunia.-EDISI UKAS